Masa terus berjalan, sedar atau tidak, suka atau tidak, usia kita juga kian bertambah dari hari ke hari. Inilah ketentuan yang tertulis untuk kita sebagai makhluk yang dicipta olehNya. Bermula kita dari setitik mani yang bersatu dengan ovum, kemudian terhasillah segumpal darah, di balut tulang dan daging kemudian ditiup roh lalu lahirlah kita menjadi seorang bayi. Bermula kita meniarap, kemudian kita merangkak, bertatih kemudian kita berlari. Subhanallah, indahnya ciptaan Ilahi. Kita juga dibekalkan pula dengan akal dan naluri, ada perasaan, ada nafsu, ada cita-cita, ada kehendak. Maha suci Allah yang Maha Pencipta.
Ingatlah lima perkara sebelum datang lima perkara. Hidup sebelum mati. Dalam usia sedang menganjak, meningkat dari tahun ke tahun, persoalan yang sering bermain di minda Kita adalah, "selama kita hidup, apa yang telah kita lakukan???"
Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana Allah ingin memberi peluang kepada kita untuk menyuci diri dan menghapuskan dosa semalam? Kita masih hidup agar kita dapat memohon maaf kepada mereka yang pernah kita lukai kita sakiti hatinya, kita masih hidup agar kita dapat melunaskan hutang yang belum terbayar.
Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana masih ada yang memerlukan kita, memimpin tangan mereka, menyapu air mata mereka, meminjamkan bahu dan telinga untuk mereka di kala mereka sedang berduka lara.
Terfikirkah kita, kita masih hidup hari ini kerana masih ada tugas yang belum terlaksana sempurna. Masih banyak yang belum kita lakukan. Amalan dan bekalan untuk di bawa ke akhirat yang kekal abadi masih tidak mencukupi.
Aduh, rupanya perjuangan kita di alam kehidupan ini masih belum selesai. Masih banyak yang harus kita persiapkan. Bila usia meningkat, ramai yang risau, kecantikan dan keremajaan bakal hilang, lalu sibuklah mereka menyuntik sana sini, makan vitamin itu dan ini. Malangnya ramai yang lupa, bila mati, jasad di timbus tanah, ulat dan cacing datang menggigit, semuanya akan reput, daging dan kulit di makan tanah. Kita kembali menjadi tanah. Apa gunanya cantik? ???
Bila usia meningkat, ramai yang risau, harta dan kekayaan yang dikumpul masih ditakuk lama, wang simpanan masih tidak mencukupi. Malangnya ramai pula yang lupa untuk mempersiapkan diri dan memperbanyakkan amalan dan mengumpul bekalan untuk di bawa ke akhirat sana.
Aduhai.. KITA bagaimana pula? usia KITA juga kian meningkat, esok atau lusa mungkin tiba masa KITA di jemput kembali pulang ke alam barzakh.. Ya Allah, ampunkanlah segala dosaku, tunjukilah aku jalanMu yang lurus, selamatkanlah dan bahagiakanlah aku serta seluruh muslimin dan muslimat, dunia dan akhirat. Amin..
Feed2PDF: Konversi RSS Feed Ke PDF
13 years ago
0 comments:
Post a Comment